Search This Blog

15 March 2011

Kurangnya orang mukmin pd hari akhirat





Allah berfirman dalam hadis qudsi sebagai berikut:



"Allah berfirman pada hari kiamat: "Hai Adam! Bangkitlah, siapkanlahsembilan ratus sembilan puluh sembilan keturunanmu (untuk ditempatkan) dalam nerakadan satu (di antara mereka itu akan ditempatkan dalam syurga)." (Ketika Rasulullah menerimanya kemudian menyampaikannya kepada para sahabat), baginda menangis tersedu-sedu, demikian para sahabat lainnya turut menangis lalu baginda bersabda: "Angkatlah kepalamu, Demi Allah Yang Menguasai jiwaku. Dibandingkan dengan umat-umat Nabi lain, umatKu hanyalah bagaikan selembar bulu putih (yang terdapat) pada kulit lembu jantan yang berbulu hitam."
(Hadis qudsi riwayat Tabrani didalam kitab al-Kabir dari Abu Darda' r.a.)
Kelak pada hari kiamat, Allah memanggil Nabi Adam untuk memberitahu sesuatu kepadanya. Segeralah menyambut panggilan itu dan bersiap-siap untuk mentaatinya. Allah memerintahkan kepada baginda untuk mengumpulkan anak cucu keturunannya untuk dipilih. Dari setiap 1000 orang, 999 orang dimasukkan ke dalam neraka dan seorang dimasukkan ke syurga. (semoga kita termasuk kepada golongan yang sedikit ini. Amin).
Ramainya orang yang masuk neraka dan sedikit daripadanya yang masuk ke syurga menurut hadis di atas, dapat kita ramalkan dari sekarang dimana ramai antara manusia tertipu dengan kesenangan dunia yang sekejap cuma kerana menurut hawa nafsu dan hidup melanggar ketetapan agama Allah ini. Ramai pula yang sama ada sedar atau tidak, keluar dari garisan yang dibenarkan. Mereka inilah yang dimaksudkan dan termasuk dalam golongan 99.9% itu.
Di antara mereka yang dimasukkan ke dalam neraka ada yang kekal didalamnya, kerana keingkaran dan kekufurannya. Ada pula di antaranya yang tinggal untuk sementara waktu yang agak lama, sesuai dengan penyelewengan yang telah dilakukannya. Ada pula golongan yang dihukum untuk tinggal di neraka dalam waktu yang pendek sahaja kerana kederhakaan dan kesalahan yang pernah dilakukannya. Setelah habis masa hukumannya, kedua golongan terakhir ini dimasukkan ke dalam syurga.
Allah memerintahkan Nabi Adam untuk mengambil keturunannya yang sedikit itu (0.1%) untuk dibawa dan dimasukkan ke dalam syurga kerana mereka inilah yang benar-benar beriman dan mendapat hidayat, berpendirian tetap, tidak menyeleweng, tegas tidak ragu-ragu dan berjalan betul-betul meniti di atas Sirathal Mustaqim, tidak tegelincir dan tidak melampaui batas.
Kalau kita meneliti lembaran al-Quran, banyak kita dapati perkataan: "Ramai yang sesat……ramai yang fasik" antaranya ialah seperti maksud ayat-ayat al-Quran di bawah:
  1. "…..dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya." (surah Al-Maaidah-66)
  2. "…..sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi." (Surah Al-Maaidah-32)
  3. "Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" (Surah Yunus-92)
  4. "Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya." (Surah Ar-Ruum-8)
  5. "Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah;" (surah Al-An'aam-116)
Ketika Nabi saw. mendengar sedikitnya orang-orang yang masuk syurga, baginda merasa sedih, lalu menangis. Para sahabat merasa khuatir dan takut kalau-kalau termasuk golongan yang masuk neraka, sehingga mereka pun turut menangis juga.
Menyaksikan betapa sedihnya para sahabat menangis, Nabi saw berkeinginan untuk menghibur mereka dan menyampaikan khabar gembira yang telah dikurniakan dan disampaikan Allah kepada umat baginda. Baginda menyampaikan berita yang menegaskan bahawa ramai di antara umat Muhammad yang mendapat taufik dan hidayat Allah serta berjalan di atas landasanNya.
Sehelai bulu berwarna putih pada kulit lembu hitam itu memang sedikit. Umat Nabi Muhammad saw. itu memang sedikit jika dibandingkan dengan umat-umat yang sesat dan menyeleweng. Selain jumlahnya yang sedikit, umat Nabi Muhammad saw. adalah sebaik-baik umat menurut al-Quran. Sewajibnyalah kita sebagi umat yang baik, berusaha sekuat tenaga untuk sentiasa dapat mempertahankan kedudukan yang mulia ini.
Hadis qudsi di atas diriwayatkan pula oleh Bukhari dalam sahihnya lebih panjang dan luas dari Abu Sa'id al-Khudri r.a. Rasulullah saw. bersabda:
"Allah berfirman pada hari kiamat: "Wahai Adam!" Adam menyahutnya: "Kami sambut panggilanMu wahai Tuhan kami dan demi kebahagiaan yang Engkau curahkan kepada kami." Lalu baginda dipanggil lagi dengan satu panggilan: "Sesungguhnya Allah memerintahkan kepadamu untuk memisahkan rombongan keturunanmu untuk untuk dihantar ke dalam neraka." Adam bertanya: "Apakah yang dimaksudkan dengan rombongan ke neraka itu?" Allah menjelaskan: "Ambil dari tiap-tiap seribu, 999 orang." Ketika dilaksanakan perintah itu (terjadilah berbagai peristiwa) seperti orang yang sedang hamil, gugur kandungannya, anak-anak kecil serta merta beruban dan kelihatan orang-orang seakan-akan mabuk tapi sebenarnya mereka tidak mabuk, (hanyalah) gambaran seksaan Allah yang sangat dahsyat (ketika itu). Orang-orang (yang hadir mendengar pada waktu itu) merasa ngeri sehingga berubah pucat warna muka mereka. Lalu Nabi saw. menerangkan: "Diambil dari Ya'juj dan Ma'juj 999 dan dari kamu 1. kalau kamu dibandingkan dengan orang yang sangat ramai itu, ibarat sehelai bulu berwarna hitam yang terdapat pada seekor lembu jantan yang berwarna putih. Sesungguhnya aku mengharapkan agar kamu menempati satu perempat penghuni syurga." Lalu kami semuanya bertakbir tanda gembira. Kemudian baginda menyambung lagi: "Menempati satu pertiga penghuni syurga." Lalu kami bertakbir lagi tanda gembira. Kemudian baginda menyambung lagi: "Menempati separuh penghuni syurga." Maka kami pun bertakbir lagi."
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Demikian bunyi hadis itu, semoga kita termasuk golongan yang separuh itu. Amin.
Gambaran seksaan Allah pada hari kiamat seperti yang disebut dalam hadis di atas, seolah-olah sebagai isyarat kepada dua ayat yang disebutkan Allah Surah Al-Haj, seperti berikut:
"Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungkannya; dan engkau akan melihat manusia mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amat berat mengerikan." (Surah Al-Haj-1,2)
syura's Site

No comments:

Post a Comment