Search This Blog

21 February 2011

Bacaan al-Qur'an Akan Memberi Syafaat di Hari Akhirat.



Sahabat yang dirahmati Allah,
Kitab suci al-Qur'an yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah merupakan kitab suci yang sempurna dan lengkap, dan menjadi peduman hidup manusia di dunia. Al-Qur'anul karim perlu dibaca, difahami, diyakini dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pernah berkata, "Pesanku kepadamu wahai saudara-saudara...hendaklah sentiasa menghubungkan diri dengan al-Qur'an pada setiap detik dan masa. Andaikata saudara melakukan sedemikian, nescaya saudara akan merasa betapa agungnya Pencipta yang Maha Tinggi itu. Sebenarnya siapa yang berbuat demikian tidak dapat tidak akan bertambah keimanan terhadap keagungan Pencipta lalu bertambah lagi ketundukannya kepada kekuasaan-Nya...." Al-Qur'an adalah  mukjizat aqaliah iaitu mukjizat yang berfungsi dan mempunyai kelebihan luar biasa hingga ke hari kiamat. Membaca al-Qur'an akan diberi pahala oleh Allah s.w.t. digandakan hingga 10 kali ganda.

Sahabat yang dimuliakan,
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Bacalah al- Qur'an kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadis lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Pada hari kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Qur'an, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya”.

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Qur'an adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima oleh Allah s.w.t. Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya. Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.

Bila selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata:“Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke Syurga!”

Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata:

“Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat.”

“Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi”

Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari Syurga.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita.Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah s.w.t. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat.Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia. Allah telah menjanjikan Al-Qur'an sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar.

Terdapat beberapa kebaikan-kebaikan al-Qur'an iaitu :

Pertama : Al-Qur'an merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kedua : Membaca al-Qur'an merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah s.w.t.. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Qur'an, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh memberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Ketiga : Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :” Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Qur'an adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan Mukmin yang tidak membaca al-Qur'an pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

Keempat : Membaca al-Qur'an hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Kelima : Pembacaan al-Qur'an yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar. Jika tak faham bahasa Arab cuba lihat terjemahannya.

Sahabat yang dikasihi,
Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas menceritakan:

“Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab Neraka.”

Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.”

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.”

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”

Sahabat,
Marilah sama-sama kita hayati al-Qur'an dan teruskan menjadi teman setia kita, jangan lupa membacanya bersungguh-sungguh dan fahami maknanya. Semoga ia akan membantu kita di alam barzakh dan hari akhirat.