Search This Blog

17 May 2011

Mengingati Allah

Berkata Ibnu Abas r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Apabila hamba-Ku mengingati-Ku sendirian, Aku pun akan mengingatinya sendirian. Dan apabila dia mengingati-Ku di hadapan khalayak ramai, nescaya Aku akan mengingatinya pula di khalayak yang lebih baik daripada khalayak ramai yang dia mengingati-Ku.” (Riwayat Thabrani)

16 May 2011

ganjaran mengikut umur

Berkata Usman bin Affan r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Apabila hamba-Ku telah mencapai usia empat puluh tahun, Aku akan jauhkan dia dari tiga macam bencana, iaitu: Gila, kusta dan sopak. Dan Apabila dia mencapai usia lima puluh tahun, Aku akan menghisabnya dengan hisab yang ringan. Dan apabila dia mencapai usia enam puluh tahun, Aku akan dorongkannya supaya suka bertaubat. Dan apabila dia mencapai usia tujuh puluh tahun, Aku akan jadikannya dicintai oleh para malaikat. Dan apabila dia mencapai usia lapan puluh tahun, Aku akan catitkan kebajikannya semata, dan Aku akan tutup mata terhadap kesalahan-kesalahannya. Dan apabila dia mencapai usia sembilan puluh tahun, akan berkatalah para malaikat: Orang ini sebagai tawanan Allah di bumi-Nya, maka ampunkanlah segala dosa-dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian, dan dibenarkannya mensyafaatkan. Dan apabila dia mencapai usia tua ganyut, Allah mencatitkan baginya semua pahala amalan yang pernah dia lakukan di waktu sihat dahulu, dan kalau dia melakukan kesalahan, tiadalah dicatitkan atasnya lagi.” (Riwayat Tirmidzi)

15 May 2011

Menemui Allah

Berkata Abu Umamah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Jika hamba-Ku suka menemui-Ku, Aku juga suka menemuinya. Dan jika dia benci menemui-Ku, Aku juga benci menemuinya.” (Riwayat Malik, Bukhari dan Nasa’i)

14 May 2011

Balasan syurga orang cacat yang bersyukur

Berkata Al-Irbadh bin Sariyah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Jika Aku meregut anggota hamba-Ku, padahal ia sangat memerlukannya, lalu ia mengucap Alhamdulillah atas bala itu, Aku tidak rela membalasnya selain dari syurga .” (Riwayat Thabrani, Ibnu Hibban dan Abu Nu’aim)

12 May 2011

Balasan syurga kepada orang buta

Berkata Anas r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Jika Aku mengambil kedua mata hamba-Ku (membutakannya) di dunia, maka tiada ganjaran lain baginya daripada-Ku selain syurga, kiranya dia memuji-Ku kerananya.” (Riwayat Termidzi)

“Jika Aku mengambil kedua mata hamba-Ku (membutakannya) lalu ia bersabar dan rela, maka Aku tiadalah melihat sesuatu ganjaran yang sesuai baginya, kecuali syurga.” (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

11 May 2011

Balasan niat baik dan buruk

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Apabila hamba-Ku merencanakan sesuatu kebaikan, tetapi tiada dikejakannya, Aku catitkan baginya satu kebajikan. Jika terus dikerjakannya, Aku catitkan baginya sepuluh kebajikan, berganda pula kepada tujuh ratus kali. Dan apabila dia merencanakan sesuatu kejahatan, tetapi tiada jadi dikerjakannya, Aku tidak mencatitkan baginya apa-apa pun. Jika terus dikerjakannya, Aku catitkan baginya satu kejahatan saja.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

10 May 2011

Balasan merencana kebajikan dan kejahatan

Berkata Abu Darda r.a. bahawasanya Nabi SAW telah bersabda: Allah Taala telah berfirman:
“Apabila hambaKu merencanakan sesuatu kejahatan, maka janganlah kamu (para malaikat) mencatitkannya ke atas hamba itu, sehingga dia mengerjakannya, barulah kamu mencatitkannnya satu kejahatan. Tetapi jika dia merencanakan sesuatu kebajikan, tetapi tidak dikerjakannya, maka catitkanlah baginya satu kebajikan. Jika dikerjakannya kebajikan itu, maka catitkanlah baginya sepuluh kebajikan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)